16 May 2018

SELAMAT HARI GURU


Buat semua sahabat handai, saudara mara yang bergelar " CIKGU", terima kasih yang tidak terhingga. Moga hidup kalian sentiasa dirahmatiNya. Semoga 'amal' kalian semua bernilai di sisiNya.
Jadilah seorang guru yang hadirnya diTUNGGU, hilangnya diRINDU, ilmunya diBURU, nasihatnya diSERU, tingkahlakunya diTIRU... SELAMAT HARI GURU.


TUN MAHATHIR MOHAMMAD - PM KE 7 MALAYSIA


Assalamualaikum korangs 

Salam Ramadhan Kareem ...esok 17 Mei 2018, kita dah start menunaikan ibadah puasa , InshaAllah ..
Moga moga segala amalan kita diterima oleh Allah sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini..

Saya terpanggil untuk "paste" kata kata dari Dr Azizan Osman ini berkenaan dengan PM kita yang ke 7 , iaitu Tun Mahathir .. 

jom kita hayatii... 


9 Mei 2018, Satu hari yang telah mencatatkan momen penting di mana rakyat Malaysia telah menyaksikan perubahan yang drastik dan besar telah berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah politik negara.
Dan bagaimana ini semua boleh terjadi? Sesungguhnya kebangkitan dan transformasi baru untuk sebuah Malaysia ini memperlihatkan seorang insan yang hadir dengan misi dan visi yang kukuh untuk masa depan negara.
Mengimbau kembali senario politik Malaysia yang baru saja membawa ombak perubahan besar pada setiap satu individu yang bergelar warganegara ini, kedua-dua pihak penyokong dan pembangkang dengan kepercayaan politik masing-masing begitu mengagumi sifat dan dasar kepimpinan insan hebat ini yang dikatakan akan mampu untuk membawa perubahan besar dalam masa 5 tahun akan datang.
Apa yang membuatkan insan ini begitu signifikan hingga menjadi bualan di bibir setiap seorang warga Malaysia dan dunia adalah berpaksikan pada sikap kepimpinan beliau yang luar biasa.

image

Satu sebab kenapa saya amat gemar memerhati dan menganalisa pemimpin yang hebat adalah untuk mengambil iktibar pada gaya dan ketokohan kepimpinan mereka. Saya rasa lapang dan gembira membaca serta mengikuti perkembangan mereka. Kerana ‘hobi’ ini juga, mata dan minda saya ibarat dibuka dengan lebih luas lagi tentang kualiti-kualiti yang mendorong pada pembentukan sikap kepimpinan teladan yang hebat.
Apa yang menjadikan seorang pemimpin itu hebat?
Seingat saya, sewaktu kecil dahulu hinggalah pada anggaran usia belia adalah tempoh masa 22 tahun pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-4 Malaysia.
Secara umumnya, kehidupan rakyat Malaysia lebih aman diiringi kadar pertumbuhan dan perkembangan ekonomi Malaysia yang seimbang. Ini mungkin berbeza pada pandangan orang lain, namun secara dasarnya, semua masih terkawal.
Sejak dari itulah saya membina rasa kagum pada beliau sebagai seorang pemimpin. Saya begitu terinspirasi dengannya hinggakan tanda tangan saya pun diadaptasi daripada gaya beliau.
Hari ini, saya berkongsi dengan sekumpulan anak didik saya dalam sesi coaching business tentang 10 perkara yang saya kira tepat yang telah dilakukan oleh Tun dalam memimpin barisan perubahan negara bersama kesemua parti yang sebelum ini adalah penentangnya.
Bagaimana ianya berlaku?
Semua ini takkan terjadi jika ia tidak dipacu oleh insan yang memiliki ketokohan kepimpinan teladan yang hebat. Sikap ketokohan inilah yang menjadi poin utama saya untuk anda aplikasikan dalam memandu bisnes, organisasi mahupun kumpulan anda.

image

1. The Power of Alignment (Kuasa Pelarasan) – Menetapkan Matlamat Yang Jelas
Ketua yang hebat memiliki matlamat yang jelas. Beliau cukup berani untuk memandu ahlinya ke arah visi tersebut dan memiliki fokus yang tetap tentang apa yang perlu dilakukan dan dielakkan dalam mencapai matlamat tersebut.
Dalam banyak-banyak hal yang berlaku beberapa minggu sebelum pilihan raya, terlihat satu tugas utama Tun dan barisan ketua yang dimilikinya – mereka mempunyai tugas untuk sentiasa menyebarkan misi dan visi yang jelas pada rakyat tentang masa depan Malaysia. 10 Manifesto 100-Hari mereka adalah matlamat jangka pendek yang mereka janjikan pada rakyat memberi gambaran besar tentang apa akan terjadi pada negara ini dalam masa 5 tahun akan datang andai mandat itu diberikan pada mereka.
Tun bukan sahaja menyatukan kesemua parti lawannya dahulu dengan satu misi utama, namun beliau juga turut mampu mempengaruhi dan menyatukan hati-hati rakyat negara ini untuk turut sama mencapai visi membentuk semula Malaysia yang baru.
Kejayaan dan tanggungjawab ini memang bukan tugas satu pihak sahaja. Waktu yang tepat juga turut memainkan peranan dan masyarakat turut menyalurkan kuasa mereka. Parti-parti tersebut telah berlawan habis-habisan selama bertahun-tahun. Sebagaimana organisasi anda, pastinya kesemua eksekutif dan pekerja anda berusaha berjuang sehabis baik.
Tapi kebanyakan waktunya mereka masih tidak berjaya ialah kerana setiap satu individu itu memainkan peranan mereka secara individu dan tidak bersama. Semuanya sibuk dengan matlamat sendiri dan tidak selari dengan satu sama lain dalam mencapai matlamat yang satu.
Berbalik pada situasi bisnes, kuasa penyelarasan antara ketua dan anak buah memainkan peranan penting dalam nemastikan visi, misi, matlamat dan objektif perniagaan tercapai.

image

2. Mengenalpasti matlamat yang sama – Big Why dan kebengangan
Apa punca utama kebengangan di organisasi anda? Apa kebengangan pelanggan anda? Dalam konteks ini pula, apa yang dibengangkan oleh rakyat? Apa kesulitan mereka yang telah dikenalpasti? Dan apa kesulitan yang bakal terjadi dengan lebih buruk lagi jika masalah hari ini tidak diselesaikan segera?
Mengenalpasti akar umbi pada sesebuah masalah adalah asas utama dalam mencari kebengangan rakyat. Hidup mereka terbeban dengan apa? Sama juga jika anda tak tahu apa isu kritikal dan masalah yang dihadapi oleh organisasi bisnes anda dan juga pelanggan-pelanggan anda, mereka akan mula berubah dan beralih arah kepada solusi lain yang menawarkan pilihan lebih baik dalam membantu mereka.
Sebab itu pentingnya untuk anda fahami, kenalpasti dan singkirkan punca kebengangan ini dalam langkah menuju kejayaan yang diimpikan.
Menjadi seorang ketua memerlukan anda untuk memiliki banyak skil interpersonal dan intrapersonal yang mantap. Ini supaya anda mampu memastikan bahawa pekerja organisasi anda selesa dan bersedia dengan matlamat yang anda sediakan untuk mereka. Apa Big Why organisasi anda? Kenapa anda buat apa yang anda buat sekarang?
Sebagai ketua anda perlu mempunyai strategi yang berkesan dan perlu pastikan setiap satu anak buah anda turut sama fokus dalam mencapai Big Why dan hasil yang sama. Ini yang membezakan antara kumpulan yang berjaya dan yang gagal.
Selari dalam matlamat yang dituju bukan saja memberikan organisasi anda fokus yang lebih mendalam tentang gambaran utama kejayaan tapi juga ia mampu membawa mereka untuk bersatu hati dan saling berkomunikasi tentang masalah dan juga hasil yang dimahukan. Perkara ini membenarkan anda untuk kenalpasti masalah atau cabaran yang mungkin menghalang anda mencapai matlamat anda dengan lebih awal.
Satu perkara paling signifikan yang kita dapat saksikan ialah harapan dan kekesalan utama rakyat yang dikenalpasti oleh Tun dan sekutunya. Jika dua benda ini tidak jelas, mereka tak mungkin akan bertapak kukuh dalam mata masyarakat. Dengan cara mengenalpasti kekesalan rakyat, mereka meminimumkan dan lantas membuang ketakutan, sangsi dan ketidakpastian tentang masa depan rakyat.
Sangat kritikal untuk anda kenalpasti nilai persamaan dalam kumpulan anda. Matlamat ini perlu diselarikan dengan nilai anda supaya organisasi akan nampak kukuh di mata pelanggan.

image

3. Mewujudkan kerjasama antara parti dengan formula yang dipersetujui secara bersama
Sebagai perancang strategik, Tun mewujudkan kerjasama erat antara 4 parti besar yang mewakili 1 unit pakatan dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Dengan ini, kekeliruan pengundi berkurang dan risiko pecah undi turut diturunkan. Para pengundi tidak lagi perlu memilih satu antara 4 parti. Mereka hanya fokus pada 1 pakatan.
Bayangkan jika Tun tidak berbuat demikian, para pengundi pasti akan berbelah bahagi untuk memilih wakil mereka kerana akan ada 9 -10 parti yang bertanding termasuk calon bebas.
Memang ia tidak mudah untuk menyatukan 4 parti menjadi satu dan ini memandu saya pada poin seterusnya – skil negosiasi seorang ketua. Kebolehan beliau mempengaruhi orang tanpa menggunakan kuasa perlu diamati. Dan tentunya formula kesepakatan beliau turut perlu diteliti.

image

4. Berunding dengan mereka yang ada kuasa dalam membuat keputusan iaitu individu yang tepat dengan pengaruh yang kuat terhadap individu lain
Kunci utama seorang ketua haruslah mampu membawa pengaruh yang berkesan pada seberapa ramai anak buahnya untuk akur secara rela, dan bukan kerana terpaksa atau atas dasar ugutan. Bekerja secara rela tanpa sebarang paksaan adalah penting untuk membina kepercayaan dan kesetiaan.
Kebolehan ini mampu diasah seiring waktu dengan pengalaman anda dan ianya satu kuasa yang perlu anda miliki. Hanya dengan perkongsian misi dan nilai anda, orang lain akan terpengaruh dengan mudah dan rela hati.
Musuh nyata, tersembunyi, yang iri hati, pesaing, yang membenci, pengkritik, yang skeptikal, semuanya tak mampu untuk dielakkan biar dalam politik mahupun perniagaan.
Mereka menjadikan hidup kita lebih sukar dan kurang selesa. Musuh dan lawan memang akan sentiasa ada. Namun mereka hanyalah cabaran sementara untuk anda capai matlamat anda. Jika anda cari penyelesaian yang sesuai, anda mampu tewaskan mereka atau buat mereka jadi sekutu anda. Kita semua memiliki keupayaan untuk menundukkan pihak lawan. Bagaimana? Menangi mereka dengan cara kerjasama.
Kadangkala anda tak mampu untuk tidak ambil kisah mengenai mereka. Jadi gunakan khidmat mereka berbanding pendekatan melawan. Beritahu, anda sebenarnya faham dan ambil berat dengan kerisauan mereka. Beritahu juga bahawa sokongan dan bantuan mereka sangat perlu untuk anda. Di sini kuasa rundingan anda akan memainkan peranan penting.
Anda perlu fahami terlebih dahulu lawan anda. Siapa mereka, apa matlamat mereka, kenapa mereka menentang anda. Sama seperti di pejabat. Penentang anda mungkin rakan kerja, bos, pelanggan atau siapa sahaja yang berkaitan. Kaji kekuatan mereka, kelemahan mereka dan keluarkan formula anda untuk membentuk kerjasama dengan mereka yang akan beri keuntungan pada kedua pihak.
Dengan rasa rendah diri yang tinggi, Tun bertemu dengan pihak lawannya untuk satu kerjasama. Kita sendiri tahu bahawa kedua pihak ini mempunyai sejarah lampau yang sangat pahit, namun atas dasar satu matlamat yang sama, mereka mampu secara profesionalnya bersatu biarpun berbeza pandangan. Mereka sanggup melepaskan perkara lalu demi masa hadapan yang lebih bermanfaat pada semua lapisan masyarakat.

image

5. Jadi tokoh dan memimpin dengan teladan
Kunci utama pada seorang ketua yang hebat ialah hubungannya bersama anak buah. Siapa yang anda pimpin dan adakah mereka percaya dengan anda? Untuk jadi seorang ketua yang hebat, pertama sekali anda perlu ada kesefahaman yang jitu antara anda dan ahli anda.
Tak ada siapa yang akan bersama dengan ketua yang tak boleh ditegur atau tak mampu capai kata sepakat. Sikap bertanggungjawab dan boleh diharapkan adalah ciri penting dalam diri seorang ketua. Dua ciri ini membolehkan anda untuk mendapat penghormatan dan sokongan terbaik dari anak buah demi matlamat anda.
Yang penting, untuk sebuah kepimpinan yang berkesan, anda perlu komited, dan jadi orang terawal berjuang dan terakhir meninggalkan medan perang.
Adakah Tun dan ketua-ketua parti memaparkan sikap sebegini? Sudah tentu. Mereka menunjukkan contoh yang terbaik. Mereka buat kajian awal, mereka turun padang, mereka ambil tahu dan kenalpasti masalah utama rakyat, mereka berkomunikasi secara jelas dengan semua orang dan mereka berkongsi secara telus rancangan pemulihan mereka.
Adakah itu satu formula kemenangan? Sebagai rakyat dan juga pemerhati bebas, saya akan kata ya, itulah satu-satunya formula kemenangan mereka.

image

6. Manifesto yang tepat dengan keresahan rakyat – fahami apa yang rakyat mahu
Kenapa ianya penting untuk anda faham apa yang orang lain mahukan? Apa yang pelanggan anda mahu? Apa yang pekerja anda perlu?
Secara asasnya, persepsi masyarakat memerlukan seorang ketua untuk berupaya mengenalpasti tahap pemikiran seseorang, dan apa yang berlegar dalam minda mereka dengan cara meletakkan dirinya di tempat mereka. Ini membantu anda untuk fahami kepercayaan, perasaan, pengalaman dan niat mereka dengan lebih tepat.
Dengan cara memahami seseorang, bermaksud anda telah membina dan memiliki sifat empati pada mereka. Anda mampu berfikir selaras atau sama sebagaimana mereka berfikir dan anda mampu menganalisa dan menginterpretasi apa yang minda mereka mahu sebelum mereka sempat katakan.
Sebagai contoh, bila kerajaan baru prihatin dan faham apa yang rakyat rungutkan dengan kerajaan lama. Atau contoh mudah, kenapa pelanggan anda membeli dari pesaing dan bukan anda. Kenapa pekerja anda meninggalkan anda dan berpindah ke tempat lain?
Pemahaman dengan nilai empati penting kerana ia membantu kita untuk faham perasaan orang lain dan juga membolehkan kita memberi respon yang bersepadan dengan situasi. Bila anda mampu berempati dengan orang lain, anda mampu untuk bina perhubungan yang bermakna, anda mampu mengikat pekerja anda mahupun pelanggan anda secara efektif.
Dan formula kemenangan sekutu Tun bersama rakyat ialah dengan membina manifesto yang dekat di hati rakyat, penuh empati dan mampu dilaksanakan demi membuang keresahan mereka.

image

7. Tun konsisten menasihati dan mendesak untuk perubahan baru hingga ke tahap beliau sanggup melakukan apa saja demi sebuah perubahan
Tun adalah seorang yang berterus terang dalam pandangannya berkenaan perkembangan negara dan arah tuju masyarakat sejak 15 tahun persaraannya.
Beliau sentiasa konsisten dalam memenangkan hak rakyat. Beliau menulis blog, berceramah, bersidang media, berkolaborasi dengan masyarakat, bertemu penentangnya dengan rendah hati, meminta maaf dan mengaku silap terdahulu, sentiasa mengadaptasi teknologi, mendekati anak muda, dan apa jua yang mungkin untuk mencapai matlamatnya. Dan usaha tanpa jemu selama 15 tahunnya itu memberikan beliau kemenangan besar hari ini.
Mengembangkan dan menjalankan bisnes, turut sama memerlukan begitu banyak perahan keringat dan masa anda. ‘Buat apa saja asal jadi’ sangat penting untuk genggam kejayaan lagi-lagi jika anda masih baru dalam bisnes.
Sebagai seorang ketua mahupun usahawan, jika anda nak buat sesuatu, buat sehabis baik. Jadi model contoh pada orang lain. Tolak diri anda hingga batasan terakhir untuk genggam apa yang terbaik buat anda. Fokus untuk sukses.

image

8. Usaha hingga titik terakhir, jangan putus asa
Kadangkala, akan tiba masa bilamana individu dan ketua-ketua hebat ini dipaksa hingga ke kudrat yang terakhir. Emosi, mental dan spiritual mereka dipaksa pada tahap yang sangat tinggi. Penat, lelah dan letih dengan pengalaman yang memaksa, tapi mereka tetap juga ampuh berdiri hingga ke garisan penamat. Mereka tak pernah putus asa. Sikap dan gaya pemikiran inilah yang memegang harapan, impian, keazaman dan matlamat hidup mereka hingga jadi nyata.
Bila waktunya rakyat seakan keliru dengan ketidakpastian kemenangan pihak Tun dan sekutu, mereka tetap berjuang dan memperjuangkan hak mereka hingga ke dinihari. Setiap satu medium, sumber dan individu terlibat untuk tetap berkomunikasi dan meyakinkan rakyat demi kejayaan yang diimpikan.
Kita telah lihat konten di media sosial, berita viral, kebangkitan rakyat dan himpunan ribuan manusia seluruh negara melalui pelbagai medium dan platform.
Ketua-ketua ini berkorban masa, tenaga, sumber dan usaha demi menjadi wakil rakyat yang disayangi, prihatin dan berguna untuk masyarakat.
Adakah anda mampu lakukan perkara yang sama untuk team dan pelanggan anda?

image

9. Sentiasa mengemaskini dan berkomunikasi tentang progres. Bina kepercayaan, keyakinan dan sokongan padu
Komunikasi adalah asas pada setiap kempen politik. Isu ekonomi, GST, pengangguran, penggubahan wang haram dan akta-akta adalah penting. Tapi cara Tun dan sekutunya menyalurkan mesej dan idea pada pengundi tersirat pada komunikasi mereka.
Hari ini, parti-parti politik tak lagi menguasai pilihan raya. Semuanya adalah kuasa rakyat. Calon-calon perlu memancing undi dengan pesat. Mereka perlu jual diri dan tawarkan apa yang rakyat mahu. Seperti pilihan raya lalu, PRU14 turut tak terlepas dari penggunaan media untuk para calon menarik perhatian pengundi.
Ketua-ketua adalah medium komunikasi rakyat. Tanggungjawab utama mereka ialah untuk berkomunikasi dengan lebih kerap. Kenapa? Kerana dengan berkomunikasi, kepercayaan akan terbina.
Ianya menimbulkan suasana percaya dan ini membolehkan para ketua memimpin dengan efektif dan menghasilkan impak yang berkesan. Pembinaan kepercayaan dalam sesebuah organisasi memerlukan usaha peribadi dari seseorang ketua selain dari usaha secara berkumpulan.

image

10. Komited dengan Kepimpinan
Apa ertinya komited untuk jadi seorang pemimpin?
Pertama sekali, ianya terjadi bila anda mendeklarasikan komitmen anda pada seseorang, atau sesuatu atau terhadap sesebuah permasalahan. Sebuah komitmen menuntut anda untuk melakukan sesuatu. Dan kepimpinan adalah sebuah keputusan dan tuntutan yang mengikat anda dengan orang lain.
Adakah anda bersedia untuk memimpin dengan apa yang anda pegang? Kita telah layari waktu bersama ramai pemimpin yang bekerja dengan penuh keazaman, dan ada juga yang sekadar ada. Ketua yang sebenar mengambil tanggungjawab dari ahlinya dengan tekun, dan sentiasa bekerjasama untuk kebaikan.
Bila saja anda membuat keputusan untuk jadi ketua, anda perlu sedia dengan jangkaan-jangkaan yang tinggi dari organisasi pimpinan anda. Anda kini memiliki tugas penting terhadap team, pelanggan dan komuniti.
Untuk jadikan visi itu kukuh, anda perlu komited dan setia pada nilai dan prinsip yang akan menghidupkan visi tersebut.
Anda perlu faham bahawa nilai yang dipegang sebagai seorang ketua menentukan sikap, budaya dan kejayaan sesebuah organisasi.
Bila anda lakukan kesemua itu, pelanggan anda, team dan ahli anda akan nampak perbezaannya.
Sebagai seorang ketua dan usahawan, anda perlu ingat, anda bukan di sini untuk membina kehidupan sendiri atau kejayaan peribadi. Tapi anda di sini untuk pastikan dunia ini lebih kaya dengan kejayaan, visi yang hebat, semangat yang kuat dan harapan yang erat serta kejayaan yang tak putis-putus. Anda di sini untuk membuatkan dunia berasa gembira dengan kehadiran anda.
Dan itu apa yang kami lihat dalam diri Tun. Tun cakap serupa bikin.
Petikan kata-kata dari Ronald Reagen, Presiden ke-40 Amerika Syarikat mengatakan, “Pemimpin yang paling hebat tak semestinya mereka yang melakukan perkara yang paling hebat. Pemimpin yang hebat adalah mereka yang mampu membuatkan rakyatnya melakukan perkara-perkara yang hebat.”
Kita kan telah menyaksikan perkara ini berlaku pada 9 Mei 2018? Hari ini akan jadi sejarah dalam negara dan dunia buat generasi-generasi akan datang. Semuanya tak mustahil kerana adanya seorang insan yang hebat, dan seorang ketua yang berwibawa seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Azizan Osman
Founder, Richworks International Entrepreneur & SME Business Training & Coaching Consultant Firm
Penulis merupakan seorang jurulatih Strategik Bisnes & Pemasaran ternama & Master Coach Antarabangsa yang diiktiraf untuk Usahawan Industri Kecil dan Sederhana.
Sebarang pandangan dan kesimpulan atau cadangan yang diekspresikan dalam artikel ini adalah sepenuhnya milik penulis dengan matlamat untuk mendidik usahawan dari segi sikap kepimpinan.

For english version please click this link bit.ly/tunm-eng